Sunday, December 13, 2009

Kaedah Membina Imej Wanita Solehah

Penulis : Zahari bin Yusoff

Terdapat ramai dalam kalangan wanita pada zaman ini tidak mempamerkan sifat peribadi yang anggun (solehah) yang menjadi kewajiban kepada semua wanita lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Dalam membentuk imej wanita solehah seolah-olah mereka kehilangan panduan bagaimana cara yang boleh dijadikan definisi yang tepat untuk dijadikan amalan seharian.
Allah Subhaanahu wa Ta’ala telah memberikan sebuah definisi wanita solehah yang menjadi perhiasan dan kesenangan terbaik di dunia, sebagaimana dalam firman-Nya, “……….. maka wanita Solehah ialah yang taat kepada Allah serta memelihara diri ketika suaminya tidak ada”
(QS. An-Nisa’: 34).
Manakala Sabda Rasulullah (dalam Ustaz Jaafar Salleh, 1997) memberitahu kepada sahabatnya,
“ Mahukah aku ceritakan kepada kamu, apakah sebaik-baik barang yang berharga? Iaitu wanita yang solehah yang apabila suaminya melihatnya menyenangkan hati, bila diperintah ditaati perintah dan bila suaminya tiada di rumah ia menjaga maruahnya”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud)
Mengikut Ustaz Jaafar (1997) dalam huraian ayat di atas, sifat wanita yang menyenangkan hati ialah wanita solehah. Tanda wanita itu solehah atau baik ialah apabila diperintahkan oleh suaminya ditaati dan menjaga maruahnya ketika suami tidak ada di rumah.
Berdasarkan dua contoh di atas dapatlah difahami dengan sebaik-baiknya bagaimanakah ciri-ciri wanita solehah. Wanita haruslah menjaga imej mereka dengan sebaik mungkin kerana ianya melambangkan peribadi seorang wanita solehah. Walaubagaimanapun, zaman sekarang bilangan wanita solehah semakin berkurangan. Imej seorang wanita solehah telah tenggelam dengan peredaran zaman kini. Malah penampilan mereka sekarang ini dikatakan dapat mengundang pelbagai ancaman pada diri sendiri dan menambahkan lagi masalah gejala sosial di dalam negara. Persoalannya bagaimanakah caranya untuk mengembalikan semula imej seorang wanita solehah?

Aurat adalah salah satu senjata utama seorang wanita yang harus dititikberatkan dalam pengurusan diri. Malah penjagaan yang sebaik mungkin akan dapat menghindarkan diri mereka daripada ancaman. Aurat berasal daripada bahasa Arab ‘aurah’ yang bererti ‘kurang’. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. Bagi seorang wanita, wajib baginya untuk menutup seluruh tubuh mereka sebaik mungkin. Aurat pada anggota wanita bermaksud keseluruhan tubuh badannya kecuali yang dibenarkan oleh Allah iaitu bahagian muka dan kedua telapak tangan.
Firman Allah s.w.t :
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
(Surah An-Nur:31).
Menutup keseluruhan tubuh badan bagi wanita merupakan ciri-ciri yang solehah dan menjadi kewajipan kepada mereka. Metodologi gaya hidup sebegini akan mempertingkatkan imej wanita solehah dan sekaligus meninggikan lagi martabat kaum wanita.

Pemilihan pemakaian yang sesuai juga dapat melahirkan imej seorang wanita yang solehah. Cara – cara pemakaian yang betul ialah dengan berpakaian longgar, pakaian yang tidak jarang, bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah), tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir, tidak bertabarruj ( bersolek ) dan lain-lain. Berkaitan dengan pakaian perempuan secara jelasnya telah dinyatakan oleh Allah Taala dalam Al-Qur'an sebagai satu perintah dan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh hambaNya yang mukmin mengikut keadaan dan situasi yang tertentu. Adalah menjadi satu kemestian wajib bagi setiap wanita akur dengan perintah Allah untuk memakai menutup kepala mereka dan jika perlu termasuk juga mukanya tanpa banyak soal dan tanpa alasan-alasan yang bodoh.
Rasululluh SAW bersabda:
“Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Laki-laki yang tangan mereka menggenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukuli orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian, namun telanjang dan berlenggak lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang bak punuk onta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian.”
(HR. Muslim)

Dari hadits di atas jelas bahawa tidak akan mencium bau syurga orang yang suka memukul dan wanita-wanita yang mendedah aurat atau berpakaian seksi. Bayangkan, menciumnya saja tidak bisa apalagi masuk surga. Padahal bau syurga itu bisa tercium dari jarak yang sangat jauh. Oleh karena itu kasihan sekali dengan wanita-wanita Muslim yang senang berpakaian seksi dan tidak mau memakai jilbab.
Padahal itu diperintahkan Allah dalam Al Qur’an:
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin: ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan oleh karenanya mereka tidak diganggu. Dan ALLAH SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Qs. Al-Ahzab: 59).

Jelaslah dari segi pemakaian yang betul adalah perlu dirujuk berdasarkan Quran dan Hadis sahaja mampu mengelakkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat. Bentuk pemakaian yang sopan adalah berkeupayaan membentuk sahsiah individu itu sendiri. Maka dengan itu imej sebeginilah dikatakan imej seorang wanita yang solehah.
Setiap perlakuan atau sikap wanita yang ditonjolkan di dalam kehidupan seharian sudah semestinya perlu seimbang dengan garis-garis yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t mahupun norma-norma yang wujud secara tersendiri di dalam masyarakat. Wanita yang beriman apabila sahaja mereka berkahwin akan memikirkan bagaimana untuk berkhidmat dan berbakti kepada suaminya sebaik mungkin. Apabila berhadapan dengan cabaran dan ujian maka mereka lebih berlapang dada dan memahami situasi yang sebenarnya iaitu dengan bersandarkan bahawa setiap ujian datangnya dari Allah sebagai penghapusan dosa. Mereka tidak mudah melatah atau hilang pertimbangan apabila menghadapi cabaran dan ujian tersebut. Sehubungan itu juga mereka mengetahui bahawa setiap kesabaran itu akan dibalas ganjaran pahala yang besar sebagaimana Allah telah melimpahkan kurnianya kepada isteri Fir’aun iaitu Siti Asiah.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap isteri yang sabar atas akhlak suami yang buruk (menyakitkan hatinya), maka Allah akan memberi ganjaran pahala seperti mana pahala yang diberikan kepada Asiah, isteri Fir’aun.”
(Irsyadul Ibad Fi Sabilirasyad)
Bukan sahaja perlakuan wanita yang baik diberi ganjaran sebaliknya kepada sikap buruk wanita apabila bergelar isteri juga akan diberi seksaan yang pedih oleh Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Seorang perempuan yang menyakiti suaminya dengan perkataan akan dikeluarkan lidahnya pada hari Kiamat dari sebelah belakang. Kemudian digantung lidahnya dan ditambat tangan dan kakinya dengan rantai. Di Padang Mashyar diseru kepada perempuan ini ‘Inilah balasan bagi orang yang derhakakan suaminya. Kemudian dihumban oleh malaikat Zabaniah ke dalam neraka sambil berkata lagi, ‘Nah rasailah olehmu akan seksaan yang amat pedih ini kerana engkau telah menyakiti hati suamimu di dunia dahulu.
Perempuan yang beriman (solehah) tidak akan berani melawan percakapan suaminya apabila ditegur atau dinasihati. Pandangan suami dihargai dan apabila dimarahi mereka mendiamkan diri dan mengambil iktibar daripada intipati peristiwa tersebut. Mereka juga lebih gemar berterima kasih apabila menerima hadiah walaupun ianya murah. Segala permasalahan rumah tangga mereka tidak mudah untuk menceritakan perihal yang berlaku kepada orang lain malah mereka akan menjaga sebaik mungkin keaiban suami dan selalu menghiburkan hati suaminya.
Apa yang berlaku sekarang ini amat jauh berbeza mengenai perlakuan wanita apabila berumah tangga. Baru-baru ini negara telah digemparkan dengan sikap seorang isteri yang baru diijab kabul selama 14 hari telah meninggalkan suaminya dan mengikuti bekas tunangnya. Persoalannya adakah sikap ini dikatakan sikap yang melambangkan imej solehah seorang wanita? Kemanakah matlamat hidup yang hendak dilalui.

Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Ia juga melambangkan seseorang itu solehah ataupun tidak. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor. Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.
Antaranya Firman Allah S.W.T. maksudnya:
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.”

(Surah Ibrahim: 24-26)
Dari Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan:
Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

1. Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimukerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.
2. Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.
3. Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.
4. Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.
5. Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=494
Ciri-ciri wanita solehah sering kali menjaga perpaduan ummah di mana sahaja mereka tinggal. Masyarakat yang hidup dalam suasana fitnah menfitnah, bergelumang dengan kata nista, berbudaya hina menghina dan keji mengeji adalah masyarakat yang tidak bersatu padu, tiada persefahaman dan pencetus kepada perpecahan. Islam merupakan agama keamanan, kedamaian, keharmonian dan perpaduan telah menetapkan garis panduan yang jelas dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Antara garis panduan tersebut ialah melarang sebarang pertuturan yang berunsur fitnah, dengki, penghinaan, dusta dan kotor yang boleh membawa kepada pertengkaran sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
'Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur saudaranya lebih daripada tiga hari.'

(Riwayat al-Bukhari)

Ketegasan Islam dalam mempastikan perpaduan wujud dalam masyarakat dikuatkan lagi dengan mengenakan hukuman tertentu kepada mereka yang mencetuskan perpecahan atau perselisihan khasnya melalui pertuturan atau percakapan. Antara hukuman tersebut hukuman sebat 80 kali ke atas mereka yang menuduh isterinya atau orang yang beriman melakukan zina tanpa sebarang saksi dan bukti dan juga hukuman takzir ke atas mereka yang melakukan penipuan, saksi palsu, memfitnah, menganggu wanita dijalanan dan sebagainya. Pendek kata,kesungguhan Islam dalam melahirkan umat Islam yang hidup bersatu padu bukan setakat seruan semata-mata malah diikuti dengan penetapan undang-undang dan hukuman bagi menjamin terlaksana dengan jayanya.
Oleh itu, mereka yang memecahbelahkan perpaduan masyarakat Islam melalui percakapan berbau fitnah,dengki, jahat dan keji bukan sahaja menentang kesatuan dan perpaduan umat Islam malah menentang ajaran yang dianjurkan Islam itu sendiri yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Boleh dirumuskan dengan tertegaknya nilai-nilai Islam atau nilai murni dalam diri seseorang khususnya wanita seperti menutup aurat, pemakaian yang sesuai, menjaga kemurnian tingkah laku atau sikap, mengawasi tutur kata dalam perbicaraan dan menjaga kestabilan atau perpaduan ummah maka sifat-sifat keperibadian yang anggun atau solehah dapat dilahirkan dalam kehidupan seharian. Malah ia menjadi kewajipan seseorang dalam mengurus penampilan diri yang solehah. Segala kebaikan dan kebenaran akan terbentuk dan mendominasi fenomena sejagat. Dengan itu ianya mampu membina budaya interaksi yang penuh berhemah antara pergaulan semua manusia tidak kira sama ada berlainan bangsa, agama, gender dan status.


Rujukan :


1. Haji Zainuddin Hamidy, et al. (2008) Tafsir quran.Klang Book Centre:Selangor
2. http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=494
3. Ustaz Jaafar bin Salleh, (1997). Rahsia kemesraan dan kebahagiaan suami dan
isteri. Al-Hidayah : Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang