Sunday, December 13, 2009

Menangani Disiplin Mengikut Intervensi Kaunseling

Penulis : Zahari bin Yusoff, Kuala Krai, Kelantan

1.0 Pengenalan

Masalah disiplin bermaksud perlanggaran peraturan dan etika yang telah digariskan secara sah dalam sesebuah institusi atau organisasi. Sekiranya masalah disiplin ini dalam kalangan pelajar sekolah bermakna perlanggaran peraturan sekolah yang dilakukan oleh murid atau pelajar sekolah digariskan secara sah oleh pendaftar iaitu Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,.

Dalam penelitian umum masalah disiplin pelajar semakin meruncing dari semasa ke semasa. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Manakala pendidik membuat kajian, faktor penyumbang ke arah ini adalah berpunca daripada gaya hidup dalam sesebuah keluarga yang seolah-olah tiada hala tuju dalam membentuk keluarga yang dikehendaki.

Berdasarkan Laporan Disiplin Pelajar Sekolah 1989 (1990 :38-57), gejala negatif disiplin pelajar yang boleh dianggap serius di peringkat sekolah rendah ialah berjudi, mencuri, melawan guru, melawan pengawas, peras ugut, membuli, kongsi gelap, mengancam, membawa bahan lucah, mengintai, bercakap lucah dan melukis gambar lucah. Sementara di peringkat sekolah menengah pula, gejala negatif yang serius adalah sama dengan peringkat sekolah rendah tetapi dengan sedikit tambahan iaitu menyalahgunakan dadah, membawa senjata, mencabul kehormatan, mengedar dadah dan bercumbu-cumbuan.

Hasil kajian Kementerian Belia dan Sukan serta universiti tempatan (1994) juga mendapati remaja atau yang melakukan tingkahlaku devian seperti menghisap rokok ialah 71%, menonton filem lucah 40%, melihat majalah lucah 39% dan mengadakan hubungan seks sebelum kahwin ialah 18%.Gejala sosial di atas akan mempengaruhi keupayaan mereka dalam pembangunan negara ke arah menyumbang kepada keperluan pengisian tempat di IPTA/IPTS dan juga pengisian sumber tenaga kepada negara.

Banyak pendapat tentang keberkesanan cara pengendalian disiplin di sekolah telah dibahaskan. Namun tidak semua pendapat itu telah dikenalpasti sebagai satu cara yang paling berkesan dalam mengendalikan disiplin di sekolah. Ada yang mengatakan bahawa cara yang paling baik ialah dengan mempunyai guru disiplin yang tegas dan garang hinggakan pelajar yang dikendalikannya itu akan menjadi begitu takut untuk melakukan kesalahan. Ini adalah satu isu yang diputuskan dan tidak boleh tidak diterima oleh semua orang. Soalnya tidak adakah satu cara yang begitu praktikal hinggakan tidak mendatangkan satu kontraversi dalam kalangan ibu bapa terutamanya apabila pihak sekolah menjalankan tindakan disiplin.

Apa yang berlaku ialah apabila pihak sekolah terlalu tegas dalam menangani disiplin, ibu bapa akan membuat berbagai aduan dan yang lebih memburukkan lagi masalah itu ialah aduan ibu bapa ke pihak kementerian ataupun aduan melalui forum-¬forum di akhbar-akhbar. Apabila ianya telah terdedah, maka ia menjadi satu isu yang amat hangat hinggakan pihak sekolah dan terutamanya guru disiplin akan menjadi lemah semangat dan tidak mengambil berat tentang soal disiplin.

2.0 Peranan Bimbingan Dan Kaunseling

Peranan saya sebagai kaunselor di sekolah dalam menangani masalah disiplin pelajar adalah berpandu kepada Panduan Perlaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling edaran Kementerian Pendidikan Malaysia 1984. Dalam edaran panduan itu telah diselaraskan dengan kehendak Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang telah dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohammad yang ketika itu menyandang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Laporan ini dikeluarkan adalah ekoran semakan dari falsafah pendidikan yang terdahulu tidak mengandungi yang tersurat melainkan yang tersirat sahaja.

Mengikut Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (dalam Abu Bakar Nordin et.al, 2003):
”...Mengkaji semula matlamat dan kesannya sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar pelajaran kebangsaan yang wujud, dengan tujuan untuk mempastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang dan lebih-lebih lagi untuk mempastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin , dan terlatih.”

Berdasarkan dengan laporan kabinet di atas maka jelaslah tenaga pendidik mahupun kaunselor haruslah juga berusaha membentuk keperibadian pelajar mengikut acuan sendiri dengan mengambilkira silang budaya dalam masyarakat setempat asalkan tujuan untuk mempastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang dan lebih-lebih lagi untuk mempastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin, dan terlatih.

Oleh yang sedemikian, amalan bimbingan dan kaunseling di peringkat sekolah menengah sebenarnya agak rumit kerana pelajarnya terdiri daripada para remaja. Pada masa ini banyak sekali pancaroba yang menimbulkan masalah. Oleh itu rancangan atau program bimbingan dan kaunseling perlu sesuai dengan kehendak remaja dan pembelajarannya. Kepelbagaian dari segi umur, kursus, minat, cerdik, lembab, bangsa, pencapaian akademik, jantina, peribadi, putus cinta, teman baru serta lain-lain lagi permasalahan sosial dalam keluarga adalah perlu dikategorikan dalam satu kelompok. Keadaan yang kompleks ini memerlukan Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah mengumpulkan data dan maklumat untuk dianalisis secara individu dan analisis secara kumpulan. Keputusan analisis digunakan bagi mencari ciri-ciri dan potensi setiap murid.

Mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia dalam buku Panduan Pelaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di sekolah (1984) ada menggariskan beberapa prinsip. Antaranya Bimbingan dan Kaunseling merupakan proses pendidikan, iaitu proses yang dirancang dan berterusan. Pelajar dididik mempelajari pergaulan, nilai, sikap dan tingkahlaku yang sesuai dengan masyarakat majmuk Malaysia. E-rancangan dan Prinsip Bimbingan dan Kaunseling adalah merujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara:
" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berktrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara".

Di semua peringkat sekolah menengah mempunyai ramai murid yang mempunyai kecerdasan kognitif berbeza-beza. Keadaan ini semakin kompleks apabila mereka masuk ke peringkat sekolah menengah atas. Guru-guru akademik tidak dapat berfungsi lebih banyak untuk "mendidik" sebaliknya mereka lebih banyak menyampaikan ilmu sahaja sehinggakan aspek-aspek psikososial telah banyak sekali diabaikan. Oleh itu kaunselor diperlukan untuk berbincang dengan guru, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa dalam melaksanakan program bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Amalan kaunseling telah dianggap "pati" dalam apa jua program di sekolah. Oleh yang demikian bimbingan dan kaunseling telah berperanan membantu pelajar bagaimana caranya untuk belajar. Hasnah Ibrahim (1982) mendakwa bahawa seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang kaunseling tetapi tidak menggunakannya maka dia tidak boleh dianggap sebagai seorang professional. Penekanan dalam latihan amali atau praktik kaunseling adalah untuk melatih kaunselor supaya dapat membuat penyesuaian tingkah laku murid-muridnya dan perhatian maklumat ditumpukan kepada perkembangan keperluan murid-murid itu sendiri.

Sebagai contoh yang dapat diketengahkan iaitu dapatan-dapatan kajian lepas dari tahun 1990an hingga 1995 yang telah mengkaji status dan keberkesanan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah Menengah dan Laporan-Laporan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling pada tahun 1977(Jemaah Nazir) dan 1994 (Bahagian sekolah) di dapati bahawa;

i. Kaunselor sepenuh masa mampu memberikan perkhidmatan meliputi semua kelas iaitu dari kelas Peralihan hingga ke Tingkatan 6.

ii. Bilangan pelajar menerima Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (3,017,645) melampaui bilangan (1,799,833) sekolah menegah pada tahun 1977. Ini bermakna seorang pelajar menerima perkhidmatan ini lebih daripada satu bidang atau menyertai lebih daripada satu aktiviti. Ini juga menunjukkan bahawa pelajar lebih gemar berjumpa kaunselor sepenuh masa. Laporan Jemaah Nazir (1977), 91.6% pelajar percaya dan yakin kaunselor dapat merahsiakan hasil sesi kaunseling dan 78.7% lebih suka menceritakan masalah peribadi kepada kaunselor berbanding dengan guru.

iii. Program dan aktiviti Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling semuanya dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih teratur untuk dimanfaatkan oleh semua pelajar di sekolah. Kenyataan ini telah dikukuhkan oleh laporan Jemaah Nazir yang menyatakan sebahagian besar {94.9%} pelajar berpendapat bahawa perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling banyak memberi faedah kepada pelajar.

iv. Kes-kes rujukan seperti kes disiplin dan kes pelajar dapat diberi penumpuan sepenuhnya oleh kaunselor. Laporan disiplin 1997 telah menunjukkan penurunan salahlaku yang amat ketara berbanding dengan tahun-tahun kebelakangan bermula 1986. Pada tahun 1997, seramai 80,937 (81.19%) sahaja yang terlibat dengan salah laku. Bilangan ini memecah rekod bilangan pelajar yang terendah terlibat dengan salah laku.

v. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah diperluaskan pengetahuan kepada guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa untuk mendapat kerjasama yang optimum dalam membantu pembangunan pelajar ke arah kecemerlangan diri.

vi. Kaunselor dapat memberi pengetahuan kepada pelajar mengenai komunikasi, teknik belajar, masalah sosial/dadah, kerjaya, pemilihan mata pelajaran, peranan ahli keluarga dan isu-isu semasa yang berkaitan.


3.0 Risiko Pengendalian Disiplin

Bila kita mengatakan pengendalian disiplin kita akan selalunya membayangkan sesuatu tindakan dari ukuran disiplin secara konvensional. Tindakan-tindakan seperti merotan, menampar, menengking, memarahi serta mengugut pelajar adalah sesuatu yang biasa kita dengar dan seolah-olah tindakan yang tidak boleh ditukar. Apabila kita menyebut guru disiplin pula, kita akan membayangkan seorang yang tegas, mempunyai raut wajah yang garang, mempunyai susuk badan yang besar dan tegap, suara yang kuat apabila memarahi pelajar dan seumpamanya. Soalnya adakah itu sahaja cara atau pendekatan yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin? Umumnya, mengetahui bahawa sekiranya pengendalian masalah disiplin terlalu keras maka pihak sekolah akan terpaksa menanggung risiko-risiko seperti berikut;

i. Mendapat tindakan mahkamah

ii. Laporan kepihak tertinggi sama ada pihak kementerian, parti politik atau ke dada - dada akhbar

iii. Pihak sekolah akan diserang oleh ibu bapa pelajar atau orang suruhan mereka

iv. Pihak sekolah akan menerima ugutan dan gangguan daripada pihak tertentu

v. Guru disiplin dipukul

vi. Laporan polis dan sebagainya.

4.0 Pendekatan Kaunseling Satu Alternatif

Isu pendekatan kaunseling tidak berkesan bukanlah satu isu yang baru. Banyak pihak - pihak terutamanya dalam kalangan guru disiplin yang berkeras tidak mahu melakukan cara pendekatan ini kerana dikatakan tidak berkesan. Walaupun cadangan dan saranan daripada pihak ibu bapa dan masyarakat supaya cara lebih baik digunakan namun masih menjadi tanda tanya serta nostalgia. Masalahnya, adakah satu institusi yang benar-benar boleh diketengahkan sebagai satu model yang boleh diikuti oleh pihak-pihak yang ingin melihat satu pendekatan yang benar-benar ¬berbeza yang selama ini mereka amalkan?

Sebelum bertindak atau melakukan sesuatu, seseorang itu perlu mengkaji terlebih dahulu risiko dan implikasi daripada hasil tindakannya itu. Dalam masa menilai dan mengkaji baik - buruknya tindakan kita, itulah dikatakan kita telah membina, menyusun dan membentuk satu strategi. Strategi boleh juga dianggap sebagai perancangan untuk bertindak. Bagaimana, biIa, siapa, dimana, mengapa dan sebagainya dihujah dan dikupas terlebih dahulu dalam membentuk strategi dan kaedah penyelesaian masalah ataupun membuat keputusan. Dengan itu, strategi ini dapat meyakinkan pelajar atau kiien apabila melihat kaunselor begitu beria-ia memberi perhatian dalam mencapai matlamat penyelesaian dan keputusan seperti yang pelajar atau klien itu sendiri hajatkan.

Seorang kaunselor yang cekap dan berpengalaman luas akan menyediakan beberapa alternatif dalam dirinya terlebih dahulu. Alternatif dalamannya itu boleh digunakan bagi menggerakkan kesedaran dan kefahaman kepada pelajar atau klien. Oleh itu kaunselor itu sendiri hendaklah melakukan pilihan terhadap beberapa strategi terlebih dahulu sebelum ia di laksanakan. Waiaupun anyak strategi kaunseling yang hampir sama tetapi berguna serta dapat memeberi pertolongan kepada klien atau pelajar dalam mencapai matlamatnya. Ini di nyatakan dengan tegas oleh Hosford dan De Visser (1974);

"...memanglah tidak ada satu cara yang paling sempurna dalam memahami masalah klien itu, jadi tidak ada satu strategi pun yang khusus, sempurna dan sesuai bagi semua situasi. Justeru itu teknik yang berbeza-beza ini memberikan hasil yang berbeza-¬beza pula terhadap individu itu sendiri, permasalahannya serta matlamatnya yang juga berlainan sama sekali..."

5.0 Kreativiti Dalam Menangani Masalah Disiplin

Secara umumnya pendekatan yang digunakan ialah kasih sayang. Soalnya bagaimanakah kasih sayang ini diimplementasikan? Untuk itu penuIis secara kasar melakarkan beberapa langkah dalam menjalankan modus operandi yang penulis sifatkan sebagai amat halus dan licik serta sukar untuk dilakukan sekiranya tidak faham akan konsep yang ingin diterapkan. Walaupun guru disiplin dapat mengubah tingkahlaku dalam masa sesaat namun dari pemerhatian saya tidak timbul sesuatu yang positif dalam banyak perkara kerana kecenderungan pelajar ke arah bersikap dendam terhadap guru amat jelas. Dengan ini akan timbul tingkahlaku alternatif yang membayangkan ke arah rasa tidak puas hati seperti ponteng, tidak menghormat guru, sanggup kena rotan walaupun berkali-kali, bereifat semakin degil, melengah-lengah masuk ke kelas, tidur di dalam kelas, melawan guru dn sebagainya. Namun dalam pendekatan kasih sayang walaupun mengambil masa setengah tahun, namun penantian yang sebegitu lama amat berfaedah sekali dan mewujudkan insan yang berbudi bahasa, pandai berinteraksi, suka menolong, bersemangat untuk belajar dan amat memahami.

Pendekatan ini juga berbeza dari segi layanan mengikut gender. Sebagaimana diketahui di sekolah pelajar-pelajar lelaki dikaitkan dengan amalan-amalan negatif seperti merokok, berjudi, mengambil arak, membuli, ponteng, samseng, gangsterisme, dan vadalisme manakala pelajar-pelajar perempuan pula dikaitkan dengan bentuk-bentuk kesalahan yang melibatkan cara berpakaian, cara bersolek, vandalisme dan berpasangan (Amir Hasan Dawi, 2006) maka sudah tentu faktor gender perlu diambilkira. Pelajar lelaki berkecenderungan membuat kesalahan realiti berat oleh itu layanannya dengan menjadikan dia sebagai rakan dan perlu diajak keluar mengikuti aktiviti tertentu di luar persekolahan seperti memancing, menghadiri majlis-majlis ilmu dan bermain bola sepak bersama-samanya. Manakala perempuan mempunyai kecenderungan melakukan kesalahan ringan maka intervensi suara dan layanan melalui sms dengan memberi motivasi ke arah pembelajaran adalah amat berkesan.

Melalui pendekatan ini, pelajar akan merasakan dirinya diterima tanpa syarat, sentiasa diperhatikan, selalu mendapat kasih sayang, mendapat pengiktirafan, meraikan hasil kerja yang dilakukan, tidak kekok, dan sebagainya. Sebaliknya mereka akan bertendensi ke flatform pengorbanan, ingin menjaga nama baik, tidak sanggup bersekongkol dalam aktiviti tidak sihat dan sebagainya.
Program-program sekolah adalah bercorak kumpulan atau kelompok yang
menekankan soal perkembangan, pembinaan dan pencegahan. Tujuannya agar dapat membina hubungan yang unik antara guru dengan murid dan secara rakan pelajar. Di sini proses kaunseling keIompok atau latihan dalam kumpulan amat ditekankan. Pada masa inilah pelajar-pelajar itu belajar menyesuaikan diri dengan rakan sebayanya dan dengan gurunya sebagai fasilitator. Konsep ini adalah selaras dengan apa yang dikatakan oleh Miller dan Papper (1978 dalam Ahmad Jazimin 1998) sebagai;

" Membentuk suatu peranan, identiti, menggabungkan beberapa sokongan untuk keupayaan seseorang itu, memperluaskan lagi skop perkhidmatannya itu sehingga menjadikan tugas-tugas yang boleh mempengaruhi seseorang. Justeru itu, penjelasan terhadap sesuatu peranan dan fungsi yang Iebih tepat perlukan pegawasan. Seorang pengawas dengan sendirinya menjadi salah seorang pembimbing. Tanpa penjelasan begitu kaunselor sekolah menengah boleh tercemar dan hilang kredibilitinya sebagai seorang professional".

Bagi tujuan di atas setiap tahun Kursus Kepimpinan yang dianggotai oleh Pengawas,Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya sering diadakan bagi menangani isu-isu disiplin di sekolah. Di sekolah juga amat wajar jika diwujudkan Majlis Pelajar. Majlis Pelajar akan dianggotai oleh calon pelajar yang memenangi dalam pilihanraya yang dijalankan pada bulan Ogos setiap tahun bagi pengambilan calon untuk tahun seterusnya. Kursus ini akan menjadikan mereka lebih peka tentang pengurusan kemanusiaan dan kepimpinan terancang. Mereka telah diterapkan dengan konsep 'Agape Love' iaitu satu konsep yang jarang diketahui umum yang berlandaskan kasih sayang tanpa syarat (petikan dari lisan Encik Abdul Aziz Yatim,2006). Kemudian diikuti dengan kursus intensif selama dua hari untuk menjadikan mereka mampu menjadi seorang fasilitator yang berkesan. Ini bertujuan apabila pelajar tingkatan empat mendaftarkan diri, adalah menjadi tugas mereka untuk menjadi fasilitator untuk satu minggu supaya nilai-nilai yang baik diterapkan dan memberi gambaran yang amat positif kepada pelajar tingkatan empat supaya meneruskan pengajian mereka di sini. Pengalaman dan dapatan lalu menunjukkan bahawa pendekatan ini berjaya mengawal pelajar tingkatan empat daripada keluar atau balik semula ke sekolah lama mereka khususnya kepada pelajar aliran sekolah teknik dan sekolah berasrama penuh. Aktiviti ini juga membantu pelajar tingkatan empat daripada di 'ragging' oleh pelajar tingkatan lima dan enam. Fenomena ini adalah sesuatu yang amat ditakuti oleh pelajar tingkatan empat.Menangani dari awal maka dapatlah perkara ini dielakkan dengan jayanya.

Selain daripada itu kumpulan pemimpin yang kemudiannya digelar sebagai 'trainers' bagi rakan mereka diajar pula tentang kemahiran belajar, kemahiran mengendalikan ujian personaliti, penulisan resume dan kerjaya. Ini akan menjadikan mereka lebih matang dan berbangga dengan ilmu yang mereka ada. Kalau dilihat di sini didapati bahawa dengan tidak secara langsung, pelajar tingkatan empat telah dapat dikawal selia dengan berkesannya oleh pelajar yang telah diberi kursus kepemimpinan ini. Mereka akan dibimbing sepanjang tahun.

Sekiranya dilihat secara kasar dapatlah dinilai bahawa sebahagian pelajar di dalam sekolah telah dikendalikan dari segi monitoringnya iaitu pelajar tingkatan 5yang bergelar 'trainers'. Pelajar 'trainers' pula akan dimantau oleh guru kaunselor dan ahli jawatankuasanya. Bagaimana pula dengan pelajar lain? Untuk tujuan itu, beberapa program telah dijalankan bagi tujuan berikut. Salah satunya ialah kursus untuk pelajar berisiko tinggi.

Kursus untuk pelajar berisiko tinggi ini kami menamakannya Kursus Fajar dijadikan Program Intan Terpilih (PIT) yang kemudiannya diserapkan sebagai bahan Kaunseling Berfokus. Telah menjadi aktiviti tahunan kami bagi mengenalpasti beberapa orang yang sering membawa masalah di sekolah. Selalunya kami akan mengumpulkan seramai 40 orang untuk menggenapkan sebagai satu pasukan yang akan dikenali sebagai 'HRU' iaitu kumpulan 'high risked undercover. Selalunya dalam kursus ini kami akan 'timbulkan beberapa isu yang sering dilakukan oleh kumpulan ini. Hinggakan ke akhirnya apabila mereka sedar akan kesilapan dan tanggungjawab mereka bagi membantu pihak sekolah dalam mengurangkan permasalahan disiplin maka dengan itu bermulalah kerja-kerja pemulihan. Setiap pagi pada hari persekolahan mereka ini mesti mendirikan solat Dhuha kemudian membaca yassin dan diikuti dengan kaunseling kelompok dalam jangka masa 40 minit. Mereka akan lebih rapat dengan kaunselor yang akan menjadi mentor mereka. Dengan cara ini mereka akan sentiasa bertemu dan berbincang dalam membantu rakan-rakan mereka agar tidak diambil tindakan disiplin. Mereka akan bertambah rapat dengan guru-guru dari Bimbingan dan Kaunseling dan dengan sendirinya mereka akan 'segan' untuk melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan maruah diri mereka. Dengan bermulanya langkah ini, maka bertambah ramai pelajar yang 'terikat' dengan strategi kami. Kami akan mendapat maklumat daripada 'networking' yang diwujudkan oleh kami.

Satu lagi program yang boleh membantu pihak Unit Bimbingan dan Kaunseling adalah dengan mengadakan kursus Galus. Dengan memberi kursus selama 3 hari 2 malam, maka satu lagi kumpulan pelajar yang sering mendapat SAP dalam peperiksaan mereka akan dimantau oleh fasilitator. Mereka akan dibantu dalam pencapaian akademik mereka. Kalau dilihat setelah beberapa kursus dijalankan oleh pihak kami, ada beberapa kumpulan pelajar lain yang tidak dimantau. Oleh itu selebihnya kami akan menjalankan kursus motivasi peringkat sekolah. Pesertanya adalah terdiri daripada pelajar yang tidak terlibat dalam apa-apa kursus sebelum ini. Dengan ini maka akan wujudnya ikatan antara pelajar dengan fasilitatornya. Dengan sendirinya fasilitator itu akan menjadi mentor pelajar itu pula.

Hasil daripada pendekatan dan program yang disusun rapi, sekolah kami telah dapat menurunkan permasalahan disiplin. Pendekatan pencegahan yang dikira sebagai 'intervention' dan bersifat proaktif ini banyak membantu mengurangkan pelajar daripada diambil tindakan disiplin. Bermaksud, kami akan dapat menghidu dan menyelamatkan ramai pelajar daripada diambil tindakan disiplin. Ini menunjukkan betapa 'networking' yang diwujudkan amat berjaya dan berkesan kerana aktiviti-aktiviti pelajar hanya akan diketahui oleh pihak kami dengan hanya mendapat maklumat daripada pelajar juga.

Maklumat amat perlu dalam menangani masalah disiplin. Untuk tujuan itu selain daripada 'networking' yang ada, kami juga menyediakan beberapa saluran-saluran yang amat praktikal yang mana pelajar-pelajar tidak tahu punca sesuatu maklumat diperolehi. Contohnya kami menyediakan kotak-kotak aduan di beberapa tempat yang strategik bagi membolehkan pelajar memberi cadangan mahupun untuk melaporkan disiplin dalam kalangan mereka kepada pihak sekolah. Begitu juga kami mewar-warkan e-mail aduan kami zahari.yusoff68@gmail.com. Melalui e-mail ini semua pelajar boleh membuka dan membaca aduan-aduan dari rakan-rakannya yang lain. Proses ini membolehkan sedikit-sebanyak berlaku asimilasi naluri antara pelajar dan seterusnya mewujudkan objektif ke satu matlamat yang dikehendaki oleh pihak sekolah. Secara tidak langsung kami sebagai kaunselor akan jadikan intervensi ceramah melalui program 5 minit di perhimpunan. Dengan cara sedemikian, pemberi maklumat akan berasa selamat dan dapat menghilangkan rasa kesakitan akibat pendaman maklumat yang boleh menggangu mereka ekoran kesalahan dari orang lain.

Terkini, banyak saluran yang mungkin dapat diwujudkan melalui internet antaranya portal dan blog. Ia merupakan platform yang membolehkan pelajar berinteraksi secara terus dan berbalas-balas informasi antara kaunselor. Portal merupakan julung-julung kali diadakan di sekolah di Malaysia adalah beralamat www.techboard.cjb.net yang mengandungi berbagai topik. Setiap topik akan dikunjungi oleh semua lapisan pelajar untuk memberi maklumat dan respon mereka tentang budaya sekolah mahupun pendidikan dalam negara kita. Manakala melalui blog, pelajar dapat mengunjungi alamat http://lamankaunseling.blogspot.com. Contohnya, sekira ada pelajar memecah masuk pejabat guru,i maka dengan hanya menaipkan tajuk ’Penceroboh Bilik Guru????’’’ dan perlu ditegaskan, pengunjung hanya beridentitikan no. siri id sahaja, tetapi mereka boleh meletakkan nama ringkas. Oleh yang demikian kami dapat mengetahui dengan mudah samada dakwaan itu benar atau salah. Seperkara lagi agak teristimewa melalui portal ini ialah dalam techboard di bawahnya terdapat ’irc’ bagi setiap pengunjung. Ini bermakna terdapat dua orang memasukinya, maka akan diketahui melalui portal tersebut dan kita boleh berinteraksi dengan orang itu tanpa mengetahui siapakah orang yang tidak mahu mengenali namanya tersebut (Abdul Aziz bin Yatim, 2006).

Sekiranya orang terlibat itu diketahui setelah disiasat, maka akan dipanggil untuk sesi temujanji di bilik kaunseling. Dalam hal ini, ketiga-tiga badan yang terlibat akan menjalankan peranannya masing-masing iaitu HEM, Badan Kaunseling dan Badan Disiplin.

Operasional yang kami jalankan adalah dengan pendekatan kasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong dan lebih tepat jika dikatakan manusia itu seharusnya dilayan seperti manusia supaya menjadi manusia. Tolak ansur di dalam sesuatu kes juga merupakan intervensi dalaman yang berkesan kepada setiap manusia apatah lagi kepada pelajar yang serba ingin belajar dan ingin tahu. Kebanyakan pelajar memberi kerjasama dan kami membantu mengeluarkannya dari kemelut pemasalahan yang rumit untuk dihuraikan oleh mereka. Oleh itu mereka akan merasai sentuhan kasih sayang secara halus dan merasai yang dirinya diterima bukan semata-mata mahu mengambil tindakan ke atas mereka. Kes-kes ditemui bukanlah kes-kes kecil bermula dari kes datang lambat hinggalah kes seksual, minum arak dan dadah juga ditangani dengan toleransi yang dapat diterima oleh ibubapa dan penjaga mereka. Pendek kata mereka dilayan sebagai manusia yang tidak bermasalah dan kami menunjukkan simpati mendalam kepada mereka dan penjaga. Kebanyakan penjaga berterima kasih di atas layanan yang kami berikan untuk anak-anak mereka dalam membantu mendidik dan membentuk sikap serta tingkah laku devien. Keadaan ini mengelakkan pihak sekolah daripada isu-isu yang panas dan kontroversi.

6.0 Kes-Kes Yang Ditemui

Banyak kes yang telah ditemui sepanjang berkhidmat di sekolah tersebut dari 2007 hingga 2008. Berikut adalah beberapa kes yang kritikal dan perlu diberi perhatian walaupun setengahnya tidak melibatkan perlanggaran disiplin sekolah tetapi ia boleh menyumbang ke arah berlakunya tingkah laku songsang sekiranya tidak ditangani dengan cekap dan cepat.

6.1 Kes pelajar aliran sains berasa tertekan apabila guru bukan opsyen
matematik tambahan mengajar dalam subjek itu sering kali
menyebut bahawa jika hendak berjaya hendaklah menukar aliran
yang mampu dan berkeupayaan dengan kebolehan serta pencapaiannya. Impaknya segelintir pelajar yang tidak berminat dan berasa susah akan berlaku konflik dalaman serius. Boleh dikatakan keseluruhan pelajar tersebut telah menemui saya untuk berbuat demikian. Keadaan ini telah menyusahkan pihak sekolah kerana hanya mereka sahaja yang dikatakan layak untuk mengisi kelas aliran sains walaupun kelayakan akademik mereka ternyata jauh panggang dari api.Mereka mula tidak bersemangat untuk meneruskan pengajian dan sering kali menghadapi ketidakselesaan emosi apabila berhadapan dengan subjek tersebut mahupun subjek sains yang lain seperti fizik,kimia dan biologi. Mereka juga sering kali menyalahkan pihak sekolah apabila mendapat markah rendah di dalam subjek tersebut. Hal sedemikian, saya mengumpul semua pelajar yang terlibat dan mengadakan kaunseling kelompok.

Dalam proses itu saya aplikasikan teori REBT untuk mencabar balik pandangan ketidakrasionalan yang diberi oleh guru tersebut.Melalui program 5 minit di perhimpunan saya mengemukakan hujah dalam hal tersebut bagi meneutralkan emosi pelajar dan bebanannya di hadapan guru tersebut secara tidak langsung. Pendekatan ini dapat diterima oleh pelajar sehingga sekarang mereka dapat melalui pembelajaran dengan penuh minat.

6.2 Pelajar perempuan yang menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa telah tertekan dengan tindakan kekasihnya yang telah dikatakan bermain kayu tiga sehingga menyebabkan hampir-hampir membunuh diri dengan cara hendak terjun dari bangunan empat tingkat.

6.3 Kes seorang anak kepada seorang kerani sekolah yang berhampi-
an berpindah dari sekolah lain. Dikatakan telah ditipu oleh rakan
sebayanya kerana dengki dengan kecantikannya. Beliau dibawa
untuk bersiar-siar oleh seorang rakan baiknya sehingga dipertemu-
kan dengan kawan lelaki yang telah merancang untuk merogol di
depan rakannya. Namun begitu tidak sempat kerana beliau telah
melawan sekuat hati. Kes itu kemudian telah dibawa ke balai polis
untuk siasatan. Dalam pada itu setiap kali dia menghadapi trauma
tingkah lakunya menjadi aneh dengan meracau-racau dan menarik-
narik rambut. Pada peringkat permulaan ahli keluarganya dapat
menerima karenah anaknya itu. Namun akhirnya ketidaksabaran
mula timbul di fikiran ibunya. Keluarganya amat tidak harmoni, di
mana pada suatu ketika ibunya telah berani mengeluarkan tutur
kata dengan perkataan 'pelacur'. Dia bingung siapakah ibunya
sendiri dan kenapakah bapanya tidak terdaya mengawal ibunya.
Keadaan itu terus terjadi sehingga sekarang dan ada ketika pula
dikatakan meracau. Rakan-rakannya yang lain pula asyik
mengejek-ngejek sehingga menimbulkan pergaduhan. Saya
memanggil mereka berdua dan diberi sesi kaunseling individu.
Didapati mereka dapat menerima dan berbaik-baik semula lebih
daripada sebelum ini. Namun begitu, dalam tahun kemudiaannya
pelajar tersebut telah berpindah sekolah. Kekecewaan teramat sangat pada
raut wajah seorang bapa jelas terpancar apabila pihak polis dikatakan tidak
mengambil tindakan serius ke atas pihak yang terlibat malah anaknya
seringkali diganggu sehingga kini.

6.4 Kes yang melibatkan pelajar yang mempunyai keinginan seks yang
tinggi hingga mengadakan hubungan dengan beberapa pelajar
lelaki berlainan. Dikatakan telah mengadakan hubungan seks lebih
daripada 12 kali selama sebulan. Apabila mengadakan sesi
kaunseling, klien memberitahu bahawa beliau ingin membalas
dendam ke atas perlakuan bapanya yang suka berkahwin ramai
menyebabkan ibunya menanggung derita dan sengsara dari segi
nafkah zahir dan batin. Ekoran daripada inilah klien tidak lagi
berminat untuk belajar. Di manakah silapnya kalau tidak kerana
kemiskinan dan pendidikan agama yang secukupnya kepada ahli
keluarga. Persoalannya siapakah yang dapat mengubah keadaan
ini. Mampukah guru disiplin atau kaunselor menyelesaikannya
dengan hanya memberi hukuman dan merasionalkannya sahaja.
Ada juga pelajar SPM yang tidak sempat mengambil
peperiksaan setelah mengetahui mengandung selama seminggu
dengan kekasihnya dan sekarang telah diijabkabulkan.

6.5 Beberapa kes pelajar terpaksa berhenti persekolahan kerana
ingin menolong ibunya mencari nafkah bagi menyara ahli
keluarganya yang susah akibat berlaku perceraian keluarga
dengan menoreh getah. Mereka mula terjebak dengan merokok
dan bergaul dengan pelajar ponteng yang lain.

6.6 Seorang pelajar perempuan yang telah dibelasah oleh bapanya sejak kecil dan ketakutan apabila nama bapanya disebut. Pelajar tersebut telah beberapa kali mengalami tekanan dan histeria. Pelajar tersebut telah ditahan dihospital. Dia mendakwa terlalu Iapar hinggakan hampir pengsan kerana ketiadaan wang. Bapanya seorang polis, dan seorang yang sangat garang. Kami telah menghubungi pihak atasan polis dan bapanya telah dikaunselingkan oleh pihak polis. Pada suatu ketika doktor telah mengesahkan tulang belakangnya telah retak dan sebenarnya ianya adalah hasil daripada terjahan dan tendangan bapanya sewaktu umurnya 13 tahun. Akhirnya pelajar tersebut telah diajar untuk merapati bapanya dan dia dapat mengubah bapanya kepada seorang yang begitu baik hinggakan berjalanpun boleh berpimpinan tangan.

6.7 Kes seorang pelajar yang telah memasuki kumpulan tabliq tetapi tidak dapat mengawal perasaannya yang mempunyai naluri 'pemusnah'. Walaupun dia tahu melawan dengan bapa dan ibunya itu satu dosa tetapi dia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada meIakukan perkara itu kerana naluri yang tidak dapat dikawal. Pelajar ini telah dilantik sebagai 'imam besar' di asrama. Pada waktu yang sama dia terpaksa berlakon kerana tidak mahu pelajar lain tahu siapa dirinya yang sebenar. Pelajar ini telah cuba mengubah dirinya tetapi mendapat halangan daripada rakan-rakannya kerana dianggap sebagai 'informer' kepada cikgu dan warden di asrama. Pelajar ini juga telah mempunyai 'sucidal ideation' dan telah cuba membunuh dirinya pada suatu ketika. Kami telah merapati pelajar ini dan membimbing menjadikan dia rakan kami hinggakan dia telah melupakan masalahnya yang
tidak berkesudahan.

6.8 Kes beberapa orang pelajar mengadu keluarganya hidup terlalu su-
sah dan meminta supaya membeli buku rujukan SPM untuk mem-
bolehkan dia berjaya. Saya membelikannya sekurang-kurangnya
sebuah buku rujukan berlainan subjek. Selepas itu saya memantau
dan bertanya tentang keputusannya setiap peperiksaan. Alhamdulil
-lah, pelajar tersebut telah dapat meningkatkan pencapaian markah
dalam dua subjek itu dari 28 markah kepada 56 markah dalam
subjek Bahasa Melayu manakala Matematik dari 18 markah kepa-
da 38 markah. Apa yang perlu dibanggakan, kini pelajar tersebut
telah menanam matlamatnya untuk mencapai dan mampu akan
mendapat targetnya dalam Bahasa Melayu sebanyak 83 markah
iaitu A1.

6.9 Seorang pelajar perempuan yang dituduh mencuri jam dinding oleh
seorang guru berasa tertekan apabila dia memberitahu jam tersebut diberi oleh pelajar lain kepadanya. Apa yang menyakitkannya, guru bahasa Inggeris itu telah mengistiharkan kepada rakan-rakannya bahawa dia seorang pencuri dan samseng tahi minyak. Tidak cukup daripada itu, guru tersebut telah memberitahu kepada pekerja kantin sekolah dan memperkenalkan dirinya dari jauh bahawa dia seorang pencuri dan haruslah berhati-hati. Pelajar tersebut terasa tidak mahu hadir ke sekolah dan terasa tidak berminat lagi untuk belajar di sekolah tersebut. Ekoran daripada itu, dia berjumpa dengan saya dan menjalani sesi kaunseling individu. Melalui sesi tersebut, beliau meminta krisis itu diselesaikan oleh pengetua bersama guru tersebut. Dia sanggup berhadapan dengan apa sahaja yang akan terjadi kerana perasaan benci dan rasa tidak puas hati berbuak-buak di sanubarinya. Setelah itu, pengetua meminta kes ini diselesaikan oleh PK HEM berdasarkan laporan dari saya (unit Bimbingan dan Kaunseling).

Setelah selesai perbincangan antara mereka, pelajar itu telah berjumpa saya dan menyatakan betapa berpuas hati dengan penyelesaian kes tersebut. Malah dia juga berbangga apabila hubungan semakin rapat dengan guru bahasa Inggeris itu tadi.Sehingga kini pelajar itu ceria, gembira dan pencapaian akademiknya meningkat dan dia mampu mendapat markah tertinggi dalam subjek matematik di dalam kelasnya.

6.10 Kesengsaraan yang ditanggung oleh tiga orang pelajar adik beradik yang ditinggalkan oleh ibubapanya akibat perceraian keluarga dan terpaksa tinggal dengan atuk lelakinya yang mempunyai isteri agak muda. Atuknya mempunyai anak-anak yang sebaya dengan klien. Ibunya berkahwin lain dan tinggal di Kota Tinggi, Johor manakala bapanya tinggal keseorangan di dalam hutan Linggi, Kelantan dengan ketiadaan pekerjaan sebaliknya dikatakan suka berjudi, mencuri dan sering kali tidak cukup perbelanjaan. Kedua-dua ibubapanya tidak bertanggungjawab. Khabar berita juga tidak pernah ditanya. Apatah lagi perbelanjaan berupa wang ringgit. Klien hanya berdoakan kepada Allah sebagai teman dan masjid dijadikan rumah yang paling selamat. Kesengsaraan adik-beradiknya bertiga ini menyebabkan si abang telah melarikan diri dengan mengajak adiknya tinggal bersama bapa kepada seorang rakannya yang tidak jauh dari situ.
Kini beliau telah menganggap bapa rakannya itu sebagai bapa angkat. Beliau diasuh oleh bapa angkatnya mengutip buah-buahan ketika musim buah dan terpaksa ponteng demi mendapatkan sesuap nasi dan wang untuk bertujuan membayar yuran.
Kebetulan saya ketika itu ditempatkan di sekolah tersebut dan menjalani bimbingan kelasnya. Secara tidak langsung, latar belakang kehidupan saya amat mirip dengannya. Apa yang menjadi perbezaan ialah umurnya sewaktu perceraian keluarga ketika itu ialah 5 tahun dan saya sendiri 6 tahun. Secara diam-diam dia menghantar sms dan menyatakan sedemikian, sehingga dia menjadikan saya sebagai idolanya untuk mencari kekuatan belajar. Saya sambut baik niatnya dan bermula dari situ saya menjalankan intervensi membina hubungan di luar sesi, berkunjung melihat kehidupannya yang sebenar, memberi galakan dan kewangan serta sering kali saya meminta kerja-kerja sekolah serta nota untuk disemak.
Akhirnya, keputusan SPM memberi impak positif dan kini beliau dapat melanjutkan pengajiannya ke tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 2 di Kuala Krai, Kelantan. Setelah tiga bulan belajar di sekolah tersebut, klien telah melanjutkan pelajarannya di Institut Latihan Perindustrian di Pengkalan Chepa Kelantan dalam bidang kemahiran pengendalian mesin.

7.0 Rumusan

Kesimpulannya, masalah disiplin di sekolah merupakan cabaran kepada profesion keguruan. Konflik disiplin tidak akan luput selagi wujudnya pelbagai budaya yang semakin tidak keruan sehingga peraturan-peraturan rimba dibawa ke dalam struktur keluarga dan diamalkan secara turun-temurun. Sebagai contoh setiap penciptaan sesuatu tingkahlaku songsang pada asasnya bertentangan secara terang-terangan dengan adat resam sebagai manusia seperti tidur sepanjang masa dan suka kilas tangan sewaktu di rumah, bercakap kuat, suka melaung-laung, sering kali konflik antara ibu dan bapa di hadapan anak-anak, meninggalkan sembahyang yang akhirnya dapat dikesan oleh anak dan sebagainya maka sedikit sebanyak menyumbang ke arah pelajar yang tidak suka membuat kerja-kerja sekolah, suka melepak, tidak suka berfikir, tidak ada ketahanan, sering membuat kerja yang tidak berfaedah dan lain-lain. Ini menjadi satu cabaran kepada kaunselor untuk membangunkan semula motivasi dalamannya supaya dapat membuat pemilihan yang tepat dan boleh berkembang maju dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Seperkara lagi akhir-akhir ini falsafah negatif yang sekian lama dahulu telah terpendam kini telah timbul kembali dalam kalangan masyarakat kampung iaitu ’buat apa belajar rajin-rajin. Awak tu perempuan akhirnya ke dapur juga lagipun nak dapat kerja sekarang ini susah kalau tidak ada kabel’. Melalui falsafah negatif ini secara tidak langsung telah membunuh semangat dan cita-cita anak-anak perempuan untuk melihat ibubapanya gembira dan hidup dalam kesenangan setelah dilihat adik-beradik lelakinya tidak lagi mampu memberi apa-apa sumbangan kepada ibubapanya.

Ekoran daripada budaya sebeginilah, elemen-elemen kemahiran berfikir diubah dari niat yang tulus dan ikhlas kepada niat untuk mencari pasangan di sekolah dan akhirnya terjebak dengan pelbagai masalah disiplin seperti mengandung anak luar nikah, perzinaan, kahwin lari, sering keluar malam dan sebagainya.
Dalam keadaan yang sama juga pelajar tidak mampu mencerna idea-idea yang bernas, kreatif, kritis, dan cenderung kepada sesuatu pekerjaan yang mudah seperti suka meniru, malas, tidak hormat dan suka membuang masa. Pendek kata fenomena ini tidak dapat diubah selagi sruktur budaya di dalam keluarga tidak diubah terlebih dahulu.
Untuk mengubah sikap dan perlakuan sebegini dalam kalangan pelajar adalah bukan sehari dua masa yang perlu diambil seperti tanggapan dan kemahuan semua guru terhadap Unit Bimbingan dan Kaunseling sebaliknya menjadi tanggungjawab semua guru dan staf di sesebuah sekolah itu sendiri memainkan peranan secara aktif dalam mencegah masalah disiplin pelajar. Begitu juga bukanlah menjadi guru disiplin sahaja menjalankan tanggungjawab dalam membentuk keperibadian pelajar. Sebaliknya keterlibatan semua komponen dalam sesuatu program dan aktiviti sudah tentu kita menjadi dominan dan berkeupayaan mengubah sesuatu walaupun ianya sebuah batu yang besar.

Seperti kata bekas Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Matnor Daim (1993), yang mengatakan:¬
'Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling bukanlah menjadi hak dan tugas eksklusif guru bimbingan dan kaunseling, tetapi juga melibatkan semua guru dalam program dan aktiviti membantu perkembangan diri peIajar secara menyeluruh dalam program dan aktiviti supaya hasrat falsafah pendidikan negara dan wawasan 2020 dapat direalisasikan'.

Kata-kata itu amat jelas tentang peranan yang perlu dimainkan oleh guru iaitu bukan sahaja hadir ke sekolah dan menjalankan tugas sebagai 'pengajar' tetapi yang lebih pentingnya sebagai 'pendidik' yang memerlukan pengorbanan untuk orang lain mengatasi kepentingan peribadi.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang