Saturday, December 8, 2012

Kebimbangan Berdasarkan Teori Psikoanalisis



SIRI PENULISAN PROFESIONAL


Psikoterapi Dan Amalan :
KECELARUAN KEBIMBANGAN

BERDASARKAN
TEORI PSIKOANALISIS






BY:
Zahari bin yusoff
Kaunselor
Smk laloh

Sabtu
30 Jun 2012      



ISI KANDUNGAN


1.0              PENGENALAN

2.0              DEFINISI ABNORMAL

3.0              DEFINISI KEBIMBANGAN

4.0              ETIOLOGI  KECELARUAN KEBIMBANGAN

5.0              KEBIMBANGAN BERDASARKAN TEORI PSIKOANALISIS

6.0              JENIS – JENIS KEBIMBANGAN

7.0              KAEDAH PSIKOTERAPI MELALUI KOGNITIF BEHAVIOUR TERAPI

8.0              KESIMPULAN

BIBLIOGRAFI






KECELARUAN KEBIMBANGAN BERDASARKAN TEORI PSIKOANALISIS

1.0       PENGENALAN

Pada alaf terkini perkembangan ilmu semakin rancak dalam mencari makna sebuah kehidupan untuk menuju ke arah kesempurnaan yang cemerlang. Pelbagai kaedah pendidikan digali dan dikaji kemudian dibangunkan melalui projek rintis serta eksperimen demi memastikan segala usaha dapat mendatangkan hasil  yang bermakna kepada manusia dan alam sejagat. Mereka yang terdidik dikatakan sebagai orang yang mendapat didikan yang sempurna dan berpengetahuan. Berdasarkan Kamarudidin Hj Hussin et.al. (2004), menyatakan pendidikan tidak sahaja bertumpu kepada aktiviti-aktiviti mengajar, yang melibatkan tindakan-tindakan menyampai dan memberitahu, tetapi juga menyangkut hal-hal yang berkaitan dengan usaha yang lebih besar yang terarah kepada pembentukan dan pembinaan insan murni yang seimbang dan bertanggungjawab. Kamus Webster mendefinisikan pendidikan sebagai satu proses mendidik atau mengajar. Mendidik selanjutnya diertikan satu usaha memperkembangkan pengetahuan, kemahiran atau tingkah laku dan perwatakan.
Bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Negara, pelajar  yang dididik  itu bukan sahaja diberi ilmu pengetahuan terkini malah diserapkan sesuatu nilai yang tertentu secara langsung mahupun tidak langsung. Ini bermakna penyerapan telah berlaku dengan begitu baik terhadap perkembangan personality manusia dan mampu berusaha membentuk perlakuan dan keperibadian mulia berdasarkan nilai-nilai manusia sejagat.
Persoalannya kenapa masih wujud pelbagai isu sosial yang kritikal dalam kalangan masyarakat seperti membuang bayi, lari dari rumah, bunuh membunuh dan sebagainya? Walaupun Indeks Keamanan Global meletakkan kedudukan kadar jenayah negara pada tahap paling rendah dan paling selamat di Asia Tenggara melalui keberkesanan program Perdana Menteri iaitu kaedah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) namun isu ini tidak boleh dipandang sepi dan ringan sebaliknya kita mesti cegah sebelum parah. Sebagaimana ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak “ Anda mungkin boleh meneka apakah isu politik yang paling penting bagi rakyat Malaysia, ekonomi. Tetapi tahukah anda apakah isu kedua paling penting? Jawapannya, jenayah.”  (Harian Metro, Khamis, 14 Jun 2012 hal. 12A).
Fenomena ini menunjukkan  ramai antara manusia semakin konflik  dengan perubahan urbanisasi semasa dibanding dengan kemampuan individu. Mengikut Teori Konflik yang dipelopori oleh Karl Marx, hubungan di antara kumpulan-kumpulan dominan dan bawahannya adalah bersifat eksploitatif. Golongan dominan ini memiliki sebahagian besar sumber-sumber pengeluaran di dalam masyarakat seperti kekayaan, kuasa, prestij, kepandaian dan sebagainya, cenderung mengenakan nilai-nilai dan pandangan dunia mereka terhadap penduduk lainnya. Golongan ini memastikan bahawa mereka terus menguasai sumber-sumber ini dan menyakinkan golongan yang kurang bernasib baik bahawa keuntungan berterusan yang dikecapi oleh kumpulan dominan adalah baik untuk masyarakat keseluruhan, termasuk golongan miskin. Sesetengah bidang konflik utama di dalam kebanyakan masyarakat termasuk kelas, bangsa dan jantina (T. Marimuthu, 1990). Keadaan ini berterusan tanpa didengari oleh mana-mana pihak menyebabkan kewujudan perasaan bimbang dalam diri manusia mengenai kebuntuan dalam keinginan mencapai objektif hidup akan mendorong tenaga etos dalam unsur pendaman libido memaksa  tingkah laku abnormal  direalisasikan. Oleh yang demikian elemen – elemen kebimbangan adalah perlu dikenalpasti dan  ditangani sebijak mungkin bagi mengurangkan kebimbangan yang juga sebahagian daripada tingkah laku abnormal.

2.0       DEFINISI ABNORMAL

Tingkah laku abnormal boleh didefinisikan juga kecelaruan tingkah laku dan ada juga menyatakan tingkah laku bilazim. Menurut Sarafino (1996),tingkah laku ialah  perlakuan tindak balas dari sesuatu perkara sama ada dari dalam diri ataupun luaran. Kadang kala melibatkan sesuatu yang ringkas seperti mengangkat tangan atau suatu siri tindakan seperti mengayuh basikal.
Tingkah laku boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang  boleh dilihat (overt) dan tidak boleh dilihat (covert). Tingkah laku verbal dan  tingkah laku motor tergolong dalam tingkah laku overt. Tingkah laku verbal melibatkan bunyi dan bahasa yang digunakan sebagai simbol pengantaraan yang dikodkan kepada penerima manakala tingkah laku motor melibatkan pergerakan badan tanpa menggunakan suara atau komponen bahasa sebagai contoh, tingkah laku motor iaitu isyarat tangan di telinga menandakan kegembiraan pemain bola sepak berjaya menjaringkan gol sambil berlari di tengah padang.
Tingkah laku covert menunjukkan respon tidak dapat dilihat secara nyata. Contohnya seorang pembaca novel menghayati plot-plot cerita dan menimbulkan perasaan seronok, kenangan manis, perasaan sedih mengikut apa kandungan isi cerita. Respon ini dikatakan kewujudan tingkah laku berlaku. Rumusannya segala lintasan hati dan perasaan yang wujud adalah suatu tingkah laku.
Tingkah laku abnormal yang ditakrifkan oleh masyarakat ialah sebagai penyakit jiwa atau kecelaruan psikologi yang lazimnya akan menganggu perjalanan kehidupan seharian dan perhubungan sosial seseorang (Azizi Yahya et.al, 2006). Gila adalah suatu kejadian yang tidak disukai oleh masyarakat, ianya berada di luar norma sesebuah masyarakat. Dalam mengenal pasti dan melabelkan tingkah laku seseorang sebagai gila, kita perlu berpandukan kepada norma masyarakat dan ahli masyarakat yang menggariskan sama ada sesuatu tingkah laku itu normal atau tidak normal. Sebagai contoh, masyarakat Islam melarang keras meminum arak kerana ia memabukkan dan merosakkan akal. Manakala masyarakat China, arak merupakan sesuatu yang biasa dan kemestian dalam majlis rasmi mahupun kekeluargaan. Bagi sebuah masyarakat Islam memandang tingkah laku meminum arak amat menjijikan dan menimbulkan tingkah laku abnormal tetapi berlaku di sebaliknya kepada masyarakat China walaupun berkali-kali melakukannya.
Tingkah laku normal ditakrifkan perkara yang biasa dilakukan, dialami, dirasai atau diberi persepsi oleh kebanyakan orang dalam sesebuah kelompok masyarakat. Menurut Azizi et.al (2006), bagi mengklasifikasikan sama ada tingkah laku itu normal atau abnormal, seseorang itu perlu mengenali dalam beberapa perkara iaitu:

1.                  Mengenali sesuatu keadaan semula jadi tingkah laku. Sebagai contoh, apakah persamaan dan perbezaan yang wujud antara mereka yang muram dengan mereka yang menghadapi kecelaruan mental.
2.                  Mencari punca-punca kejadian suatu tingkah laku
3.                  Mengenal pasti cara-cara yang paling baik bagi merawat kecelaruan yang dihadapi itu

Altrocchi (1980), menyatakan tingkah laku tidak normal ialah tingkah laku yang salah adaptasi atau merosakkan bagi diri seseorang ataupun persekitaran sosialnya. ‘Salah adaptasi’ di sini membawa maksud tingkah laku yang merosakkan diri secara signifikan dalam aspek psikologi. Tingkah laku berkenaan menghalang daripada berfungsi secara berkesan, baik dalam kehidupannya secara individu ataupun bermasyarakat. Contoh orang yang terlalu takut kepada jangkitan kuman akan mengelakkan diri dari keluar rumahnya dan bergaul dengan masyarakat. Tingkah laku tersebut boleh dikategorikan sebagai tingkah laku abnormal yang merosakkan diri sendiri. “Merosakkan” di sini membawa maksud merosakkan kesejahteraan dirinya dari sudut psikologi dan biologi. Kadang-kala dengan tingkah lakunya dia berniat untuk merosakkan orang sekelilingnya lebih daripada merosakkan dirinya sendiri.
            Menurut Rosenham dan Seligmen (1995) pula terdapat enam petanda seseorang itu
yang mempunyai tingkah laku tidak normal.

0.1              Distres
Individu berkenaan mengalami distress peribadi atau kebimbangan (anxiety) yang keterlaluan. Contohnya, semua orang akan berasa risau apabila ingin menghadapi peperiksaan. Tetapi bagi mereka yang distress, mungkin mereka tidak menghadiri dewan peperiksaan tersebut.
2.2       Salah Adaptasi
Tingkah laku yang gagal mengadaptasi kepada kehendak-kehendak atau keperluan-keperluan normal kehidupan.

2.3       Tidak Rasional
Tingkah laku atau percakapan yang tidak rasional dan tidak difahami oleh orang lain. Contohnya orang yang bercakap-cakap dengan roh ibunya yang sudah meninggal dunia kerana dia terdengar-dengar suaranya.

2.4     Sukar diramal
Tingkah laku yang sukar diramal, seolah-olah individu berkenaan sedang berada di luar kawalannya, Contohnya, seorang kanak-kanak yang tiba – tiba menghempaskan permainannya tanpa sebab.



2.5     Di luar Kebiasaan (unconventional) dan jarang terdapat (rarity)
Tingkah laku seseorang yang terkeluar dari normal-normal masyarakatnya dan tidak diterima daripada sudut nilai nilai moralnya. Tingkah laku berkenaan juga dianggap sebagai sesuatu yang tidak dikehendaki. Contohnya, bekerja sebagai pelacur, merompak dan sebagainya.

2.6     Ketidakselesaan Pemerhati (observer discomfort)
Ada juga tingkah laku yang membuatkan orang lain dipersekitarannya terancam atau distres. Contohnya, sikap suka mengatakan kepada orang lain di khalayak ramai tanpa menghiraukan perasaan orang lain malu atau tidak sebaliknya merasa puas dengan apa yang dilakukannya. Boleh juga kita merujuk kepada contoh orang yang suka mengganggu orang lain dengan menimbulkan rasa ketidakselesaan dan tidak selamat kepada orang yang diganggu. 
Berdasarkan enam petanda di atas, sekurang-kurangnya terdapat dua tingkah laku di atas maka boleh dikategorikan mempunyai tingkah laku abnormal. Walau bagaimanapun, dapat disimpulkan bahawa sesuatu diagnosis psikologikal ialah satu label deskriptif yang mengenal pasti dan menerangkan kecelaruan mental berdasarkan maklumat yang dikumpulkan melalui proses pemerhatian, ujian dan analisis (P.G. Zimbardo dan A.L. Weber, 1997).
Kesimpulannya, sekali lagi ditegaskan, tingkah laku abnormal terbentuk apabila seseorang itu mengalami konflik dalaman mahupun luaran  menyebabkan kerisauan atau kebimbangan berlaku dalam diri mereka. Apabila kebimbangan ini tidak dapat ditangani dengan baik atau mengherot berotkan pernyataan (apa yang dialami dalam bentuk apa jua sekalipun) maka mereka gagal dalam membuat keputusan dengan baik dan keadaan ini akan menjelma tingkah laku abnormal. Oleh itu perlu kita memperinci dan memperbincangkan tentang elemen kebimbangan yang terdapat dalam diri manusia mengikut pandangan teori dan ahli-ahli psikologi yang lain.

3.0       DEFINISI KEBIMBANGAN

Kebimbangan boleh ditafsirkan secara ringkas sebagai persepsi terhadap sesuatu pantulan persekitaran akan berlaku sesuatu jika tidak dipenuhi dengan sesempurna yang mungkin. Tekanan ini akan menimbulkan rasa ketakutan apabila difikirkan secara mendalam dan berterusan tanpa berbuat sesuatu perkara bagi mengatasinya. Menurut Drever (1952) kebimbangan ialah perasaan takut yang kroniks dan kompleks. Ia wujud dalam pelbagai jenis kecelaruan mental dan saraf. Manakala Jersid (1960) menyatakan, kebimbangan adalah tindak balas keseluruhan pada bahaya yang subjektif. Altrocchi (1980) menyebut, ahli psikologi mentakrifkan kebimbangan sebagai perasaan yang dirasai oleh seseorang semasa ketiadaan sebarang bahaya luaran yang dikenal pasti dan ia hanya sebagai tindak balas terhadap bahaya dalaman yang tidak realistic. DSM-III pula mentakrifkan kebimbangan sebagai gangguan yang pradominan atau ia dialami jika individu cuba menguasai simptom-simptomnya.
Sikap seseorang pada penyebab kecelaruan mempunyai implikasi yang ketara kepada seseorang itu menjalankan penyelidikan. Di samping itu, ia juga mempengaruhi tanggapan, bagaimana menguruskan kecelaruan ini bagi memulihkannya. Oleh itu, kebimbangan dapat dianggap sebagai satu petanda bahawa bahaya akan berlaku. Walau bagaimanapun, beberapa masalah psikologi kanak-kanak dan remaja timbul yang disebabkan kebimbangan tidak menunjukkan ia berkaitan dengan bahaya secara fizikal.
Bambers (1979) menjelaskan dua konsep yang memainkan peranan penting dalam bidang psikologi klinikal dalah kebimbangan dan ketakutan. Walau bagaimanapun, maksud sebenar kedua-dua istilah ini serta arah fenomena yang ditunjukkan oleh istilah-istilah ini masih tidak jelas. Bambers (1979) menerangkan bahawa terdapat kesukaran bagi mendapatkan maksud sebenar konsep ketakutan dan kebimbangan ini. Beliau menjelaskan terdapat kecenderungan di kalangan ahli psikologi menggunakan dua pendekatan yang berbeza bagi mentakrifkan katakutan dan kebimbangan. Pendekatan yang pertama adalah memberikan makna yang sama antara ketakutan dan kebimbangan manakala pendekatan yang kedua adalah membezakan erti kebimbangan dan ketakutan.
Wolpe (1958) menyatakan,kebimbangan digunakan seerti dengan perkataan ketakutan. Tiada sebarang alasan lagi mengatakan bahawa terdapat perbezaan fisiologi antara ketakutan yang ditimbulkan oleh rangsangan yang dikaitkan dengan ancaman yang objektif seperti ular dan ketakutan yang disebabkan oleh kucing.




4.0       ETIOLOGI  KECELARUAN KEBIMBANGAN

Etiologi (penyebab) kecelaruan kebimbangan atau kecelaruan kebimbangan dengan melihat peranan faktor-faktor biologikal seperti neurobiology, genetic, biological predispositions atau keadaan yang mudah dipengaruhi biologikal dan fisiologi.
Melalui Teori Psikoanalisis yang dipelopori oleh Sigmund Freud (1856-1939) menganalisis kebimbangan secara terperinci yang dapat kita jadikan sedikit panduan bagi menangani kecelaruan kebimbangan. Mengikut May (1979), Frued merupakan orang yang mula-mula mengulas kebimbangan secara saintifik. Ini dapat dilihat pada tahun 1895, beliau mengesyorkan satu entity diagnostik yang baru iaitu neurosis-kebimbangan. Beliau kemudiannya mengulas isu kebimbangan ini dengan lebih terperinci di dalam buku beliau yang bertajuk Hemmung, Sympton and Anxiety pada tahun 1926 yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris setahun selepas itu, di bawah tajuk Inhibition, Sympton and Axiety.
Menurut Spielberger (1979) Frued melihat kebimbangan sebagai fenomena yang fundamental dan menjadi pusat kepada masalah neurosis. Beliau merumuskan bahawa memahami kebimbangan adalah tugas yang paling sukar dan bagi menyelesaikan masalah ini, ia memerlukan pengenalan ringkasan idea tentang kebimbangan secara tepat dan aplikasi kaedah pemerhatian (emprikal) yang sesuai supaya ia dapat difahami dengan jelas.
Frued melihat bahawa kebimbangan ialah ‘sesuatu yang jatuh’ iaitu keadaan emosi yang tidak menyenangkan kepada manusia. Beliau menjelaskan lagi keadaan kebimbangan itu dapat ditakrifkan dengan luas sebagai segala-galanya (kebimbangan) difahami dengan perkataan ‘nervousness’ dan ia termasuk komponen eksperimental, fisiologi dan tingkah laku. Komponen eksperimental yang dikaitkan dengan kebimbangan mengandungi perasaan tekanan yang subjektif, ketakutan dan kebimbangan.  Rangsangan fisiologi dan manifestasi tingkah laku menyebabkan keadaan yang tidak menyenangkan berlaku, seperti degupan jantung yang kencang, gangguan pernafasan, berpeluh, tidak selesa dan menggigil.
Banyak simptom kebimbangan daripada aspek fisiologi dan tingkah laku yang disenaraikan oleh Frued serupa dengan  symptom kebimbangan yang dijelaskan oleh ahli teori iaitu Darwin. Perbezaan antara kebimbangan dengan keadaan emosi-emosi lain adalah manifestasi gabungan unik tingkah laku, fisiologi dan eksperimental kebimbangan apabila aspek fisiologi dan tingkah laku menjadi komponen utama. Sementara aspek eksperimental iaitu perasaan tertekan dan takut yang menjadi ciri istimewa kebimbangan, bersifat subjektif.
Mengikut Sigmund Freud, (1856 – 1939), dalam diri manusia terdapat tiga sistem  tenaga iaitu id, ego dan superego yang berinteraksi antara satu sama lain. Id mempunyai tenaga psikik sepenuhnya. Oleh kerana ego memerlukan tenaga psikik untuk berfungsi, keadaan konflik wujud di antara tenaga pendorong id dan tenaga menghalang, ego dan superego. Dalam sesuatu masa tertentu, dunia luar berfungsi untuk memuaskan kehendak ego. Keadaan ini ego akan rasa terancam bagi memenuhi kehendak id dan id sedaya upaya akan cuba mendesak ego agar dipenuhi tidak kira dengan apa jua sekalipun. Apabila ego mempunyai rangsangan terlalu banyak maka ia dibanjiri kebimbangan. Kebimbangan mungkin akan wujud dalam beberapa bentuk yang tertentu (Sabariah Siron, 2005).

5.0       KEBIMBANGAN BERDASARKAN TEORI PSIKOANALISIS

Sebahagiannya telah diperbincangkan di atas mengenai kebimbangan yang dilahirkan dari kebanjiran libido akibat desakan id bagi memenuhi instinct.
Risiko daripada itu ego terancam an melahirkan kebimbangan antaranya:

5.1       Kebimbangan Realiti
Kebimbangan reality adalah disebabkan ancaman yang wujud dari dunia luar. Sebagai contoh sering dimarahi oleh ibu atau bapa yang garang. Akibat daripada itu, seorang anak akan berasa terlalu bimbang dan menyebabkan fizikalnya akan  gementar jika mereka berada berdekatan, suara hampir tidak terkeluar antara jelas atau tidak, mata melihat tepat dalam keadaan postur (kedudukan badan) tegak tidak bergerak (kaku).
Menurut Frued (1977) apabila tenaga libido dipendamkan, ia bertukar menjadi kebimbangan dan akan muncul sebagai kebimbangan bebas atau sebagai satu symptom kebimbangan. Misalnya, kanak-kanak menjadi bimbang apabila ibunya tidak bersamanya kerana kanak-kanak itu tidak dapat menyalurkan libido (perasaan) kepada ibunya dan libido itu wujud sabagai satu kebimbangan. Jika kebimbangan objektif adalah tindak balas kepada ancaman luar, maka kebimbangan neurotik adalah  pelarian daripada desakan libido itu sendiri. Pengalaman kebimbangan neurotik membuatkan ego yang berperanan memproses ancaman ini akan cuba lari daripada desakan libido ini, dan menjadikan ancaman dalaman ini sebagai yang datang dari luar, dan dengan sendirinya tidak melibatkan ego untuk berbuat sesuatu.

5.2       Kebimbangan Neurotik
Kebimbangan neurotic terhasil disebabkan takut instinct tidak dapat dikawal yang mendorong individu melakukan sesuatu yang mana ia akan dihukum. Sebagai contoh, jika tidak melakukan yang terbaik maka gajinya akan dipotong dan menyebabkan peguam akan mengeluarkan surat panggilan mahkamah untuk dibicara.            
Teori kebimbangan yang berpusatkan kepada peranan libido, tidak dapat menghuraikan kebimbangan jenis fobia. Freud (1977) mendapati bagi jenis-jenis kebimbangan yang lain, ego lebih berperanan jika dibandingkan dengan id yang bertukar menjadi libido. Ego mengamati bahaya dan dengan sendirinya akan meninggalkan kesan kebimbangan. Ini bererti, bukan pemendapan libido yang menjadi punca kebimbangan tetapi kebimbangan telah wujud sedia ada apabila diamati oleh ego tadi dan ini bermakna kebimbangan adalah punca pemendapan.
Frued (1977) menjelaskan lagi, fenomena kebimbangan adalah ciri semula jadi sesuatu organism itu. Ia adalah sebahagian daripada naluri semula jadi untuk keselamatan kendiri dan diwarisi secara genetik. Kebimbangan objektif dialami secara semula jadi tetapi kebimbangan yang spesifik adalah dipelajari. Beliau menyatakan kebimbangan adalah berpunca daripada renjatan emosi dan takutkan kembiri (feat of castration)
Menurut Frued (1977) kebimbangan perlu dilihat sama ada berbentuk objektif ataupun neurotik. Kebimbangan objektif atau kebimbangan biasa adalah tindak balas pada ancaman luar seperti kematian, melahirkan anak ataupun menghadiri temu bual. Kebimbangan ini adalah reaksi semula jadi dan ia adalah rasional dan berfungsi mempertahankan kendiri. Kesediaan yang timbul secara automatik ini adalah satu fungsi penting kerana melindungi individu daripada ancaman yang mendadak. Kebimbangan objektif sebegini sebenarnya tidak menimbulkan masalah psikologi. Misalnya seseorang yang akan memberi ucapan di khalayak ramai akan merasa bimbang memikirkan persembahan dan sambutan yang akan diperolehnya. Kebimbangan sebegini berbentuk objektif dan mendorongnya membuat persediaan supaya apa yang dicakapkan nanti akan mendapat sambutan. Bahkan kebimbangan sedemikian baik untuk persediaan. Jika tidak, seseorang itu tidak mengambil berat akan persembahannya.
Kebimbangan akan menjadi masalah jika seseorang yang akan mengalami jenis kebimbangan objektif yang fungsinya adalah untuk bertindak balas secara automatik pada ancaman, memberikan tumpuan berlebihan pada ancaman itu. Menurut Freud (1977) lagi, persediaan menghadapi kebimbangan adalah punca utama bagi menimbulkan kebimbangan neurotik. Kebimbangan ini meningkat kerana jumlah kebimbangan yang dialaminya tidak setara dengan ancaman yang dihadapinya. Terdapat penjelasan berkaitan kecelaruan kebimbangan daripada sudut pembelajaran dan teori kognitif.

5.3       Kebimbangan Moral

Kebimbangan moral adalah disebabkan perasaan bersalah jika  melakukan perlanggaran kod moral. Kebiasaannya berlaku kepada mereka yang mempunyai superego yang tinggi. Sebagai contoh, mereka yang berpegang kuat kepada kitab suci dan mempunyai kepercayaan yang tinggi apa yang termaktub di dalamnya maka akan bersalah teramat bsangat jika melakukan perkara bertentangan dengan apa yang dipelajari. Mungkin mereka akan mengalami kompulsif-obsesif. Situasi ini boleh membawa sehingga membunuh diri.

6.0       JENIS – JENIS KEBIMBANGAN

Berpandukan penyenaraian segala penyakit di dalam Disorder Statistik of Manual-IV (DSM-IV) terdapat banyak jenis-jenis kebimbangan yang wujud di dunia ini dan sebanyak sembilan jenis kebimbangan dikategorikan namun begitu akan diperincikan sebanyak empat sahaja di bawah ini antaranya ialah :

6.1  Agorafobia

Penyakit kebimbangan Agorafobia berlaku kepada seseorang yang berasa takut kepada kawasan yang luas dan sibuk. Kadang kala ianya boleh berlaku serentak dengan keadaan panic ataupun tidak. Jika terdapat kecelaruan panic berterusan maka ia akan mendapat serangan panic dan kemungkinan takut menghadiri majlis-majlis keramaian. Kecelaruan jenis ini melibatkan ketakutan pada suasana atau tempat yang mungkin memalukannya bagi melepaskan diri apabila memerlukan pertolongan serangan panik. Istilah agoraphobia berasal daripada perkataan Greek (Nevid et.al, 2000). Mengikut Yonkers et.al, (1998) ianya sering berlaku kepada golongan wanita berbanding dengan lelaki. Sebagai contoh  di program festival, karnival, majlis ceramah atau rapat umum ataupun di pasar malam yang sibuk


6.2  Kebimbangan Umum

Kecelaruan kebimbangan umum dikategorikan dengan cirri-ciri seperti bimbang kepada suasana kewangan, anak-anak dan hubungan sosial. Penghidap berasa terawang-awangan dan sedikit berkhayal sebagaimana yang dijelaskan oleh Freud (Rapee, 1991). Kanak-kanak yang bimbang kepada pencapaian akademik, sukan dan aspek-aspek sosial persekolahan yang lain merupakan tanda mengalami kecelaruan kebimbangan umum. Mereka akan mengalami keletihan, sukar tidur, sukar menumpukan perhatian, fikiran menjadi buntu, otot-otot menjadi tegang dan tidak bersemangat. Selalunya penghidap penyakit ini mengalami perasaan resah, bmbang dan gangguan fizikal yang akhirnya mendapat gangguan emosi seperti ketegangan (APA, 1994).

6.3  Kecelaruan Kebimbangan Obsesif-Kompulsif

Obsesif adalah pemikiran atau idea yang kelihatan melampaui kemampuan individu bagi mengawalnya. Ini bermakna mempunyai perasaan takut yang berkait rapat dengan kepercayaan, bayangan dan fikiran yang tidak logic dan rasional. Ia menyebabkan gangguan hidup dalam bentuk keraguan dan imej mental yang kurang menyenangkan. Seseorang yang mengalami obsesif boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain atau pasangannya. Manakala kompulsif adalah tingkah laku yang berulang seperti berulang kali membasuk tangan atau sering kali memeriksa pintu berkunci. Kompulsif terbahagi kepada dua kategori iaitu :
6.3.1        Rtual memeriksa
6.3.2        Ritual membersih. Kompulsif sentiasa disertai dengan perasaan obsesif apabila ia muncul sebagai melepaskan kebimbangan yang diwujudkan oleh pemikiran obsesif (Nevid et.al, 2000)
Sebagai contoh, dalam budaya orang Islam, perasaan ketidaksempurnaan mengambil wuduk atau mencuci kain yang terkena najis mendorong untuk mencuci berulang-ulang kali sehingga berlaku pembaziran air. Dalam kata lain was-was.

6.4  Fobia Khusus

Berlaku kepada individu yang mengalami ketakutan yang keterlaluan pada suasana atau objek yang khusus seperti suasana terlalu gelap (claustrophobia), tempat yang tinggi (acrophobia) atau takut kepada binatang-binatang kecil, ular, atau ulat bulu. Ketakutan ini biasanya diikuti dengan tindak balas fisiologi yang tinggi apabila individu berdepan dengan rangsangan yang menakutkan. Tindak balas yang rendah mampu mengeluarkan diri dari mengalami gangguan fobia khusus. Kebiasaannya fobia khusus berlaku kepada kanak-kanak, walau bagaimanapun ada yang Berjaya melawan perasaan fobia khusus jika diberi peneguhan sokongan yang logik (Merkelback, 1996).
            DSM –IV (APA, 1994), mengelaskan fobia khusus kepada lima kumpulan iaiut :
6.4.1        Jenis fobia kepada binatang seperti serangga, anak kucing dan sebagainya.
6.4.2        Jenis fobia persekitaran yang tabii iaitu pada ketinggian, kilat, laut ataupun bukit.
6.4.3        Jenis fobia darah seperti suntikan dan kecederaan. Ia juga boleh berlaku mengikut keturunan kekeluargaan yang kuat merujuk kepada fobia yang dicetuskan oleh darah, jarum suntikan atau prosedur perubatan.
6.4.4        Jenis fobia suasana iaitu ketakutan kepada pendedahan suasana yang khusus seperti takut memandu kenderaan melalui jambatan, terowong atau kapal terbang atau kawasan yang tertutup.
6.4.5        Jenis ketakutan lain. Kategori ini disebabkan ketakutan tercekik, muntah, atau takut pada suasana kebisingan yang kuat. Penyakit ini adalah kecelaruan psikologi yang lumrah dihadapi oleh satu orang daripada 10 orang Amerika (APA, 1994).


7.0       PSIKOTERAPI MELALUI KAEDAH ALIRAN KOGNITIF BEHAVIOUR
TERAPI

7.1  Teori Pembelajaran

Teori pembelajaran dalam kecelaruan kebimbangan mempunyai kaitan yang rapat dalam psikologi moden terutamanya teori behaviorisme. John B. Watson yang lebih dikenali sabagai bapa behaviorisme dapat menunjukkan, kebimbangan atau ketakutan dapat dipelajari seperti kita mempelajari banyak perkara lain dalam hidup. Ini bermakna tiada apa-apa yang misteri berkaitan kebimbangan atau ketakutan.
Antara ahli psikologi yang menjadi pendukung behaviorisme adalah B.F. Skiner, John B. Watson dan Edward Thorndike. Mereka berminat dengan tingkah laku yang diperhatikan. Penyelidikan mereka tertumpu pada tingkah laku ini. Mereka tidak mementingkan struktur mental yang melibatkan pemikiran, idea, impian dan imej mental. Sebaliknya, tindakan dan pola perlakuan individu diberi penekanan. Menurut mereka jika hendak mengekalkan tingkah laku itu maka hukuman harus dikenakan (PPK, 2001) .
Terdapat dua isu yang saling berkaitan apabila kita membincangkan tentang penyebab kepada kecelaruan kebimbangan:
7.1.1        Apakah kesan awal kepada kebimbangan yang dipelajari?
7.1.2        Mengapa kebimbangan itu berkekalan sesudah dipelajari?

7.1.1    Perolehan : Model Pelaziman Klasik
Ketakutan yang amat sangat dipelajari melalui ‘pelaziman traumatic atau yang mengejutkan’ (Wolpe, 1958). Ini bermakna seseorang belajar menyatukan rangsangan ancaman dengan rangsangan tidak terancam, akhirnya secara semula jadi dapat mencetuskan kebimbangan.

Beberapa definisi
US= Ransangan tidak bersyarat (rangsangan ancaman)
UR=Respon tidak bersyarat akibat US
CS= Ransangan bersyarat
CR= Respons bersyarat akibat CS

Jika US bergandingan dengan CS dalam tempoh masa yang mencukupi, lama-kelamaan
CS akan dapat menarik respons yang pada asalnya hanya berlaku dengan US.
            Jadual 11.1 menunjukkan bagaimana perkara ini berlaku:

Peringkat
Proses
Contoh (ketakutan seekor anjing)
Sebelum pembelajaran
US -> UR
Sakit -> Kebimbangan
Pembelajaran
US + CS -> UR
Sakit + anjing -> kebimbangan
(Contohnya: Anjing gigit saya, maka sakit bergandingan dengan melihat anjing)
Pembelajaran
CS -> CR
Anjing -> Kebimbangan

Jadual 11.1: Proses Pembelajaran
Mengikut model ini, ketakutan tidak boleh dipelajari dengan hanya membalikkan proses itu. Ini bermakna dengan mendedahkan CS berulang kali tanpa US, lama kelamaan sebagai proses penghapusan atau pemusnahan.

7.1.2    Pengekalan: Model Penghindaran atau Pengelakan
Model behaviorisme mengenai perolehan ketakutan menitikberatkan gabungan dua rangsangan iaitu CS dan US (rangsangan bersyarat dan rangsangan tidak bersyarat). Ini bermakna jika gabungan ini dapat dipisahkan, ketakutan akan dapat dihapuskan. Walau bagaimanapun lagi kebanyakan orang, sekali ketakutan itu sudah dipelajari , maka ia amat sukar dihapuskan. Contoh: Sekali saya belajar takut pada anjing, ia akan kekal bertahun-tahun lamanya. Bagi menjelaskan keadaan ini, kita perlu melihat lebih daripada satu factor pembelajaran.
Faktor 1:  Pada awalnya ketakutan dipelajari daripada penzaliman klasik.
Faktor 2: Kemudian dikekalkan melalui pengelakan iaitu sebab individu itu mengelak daripada sesuatu yang ditakuti maka tiada peluang untuk pengujian reality dan pembelajaran. Akibatnya ketakutan itu tidak dihapuskan. Contohnya, saya tidak mempunyai peluang untuk mengetahui bahawa kebanyakan anjing tidak menggigit.

7.2       Teori Pembelajaran sosial

Pengamal Teori Pembelajaran Sosial melihat proses pembelajaran sesuatu berlaku melalui pembelajaran apa yang dilihat, ditiru dan dilakukan. Hal sedemikian ini, ketakutan boleh dihindari dan diperolehi melalui pemerhatian kemudian dipraktis dan diulang berkali-kali. Contoh seorang bapa yang amat takut kepada anjing, maka segala gerak geri dan perlakuan akan dipelajari oleh anak-anaknya. Dalam hal ini anak-anak akan membesar dalam ketakutan kepada anjing.
Dalam kajian terhadap binatang (Arkes, 1982) sekumpulan anak monyet dibesarkan dalam makmal yang tidak takut kepada ular.  Mereka kemudian dibenarkan memerhati seekor monyet dewasa yang amat takut kepada ular asli mahupun replika ular. Selepas anak-anak monyet memerhati selama 8 minit, didapati anak-anak monyet menyemai perasaan takut pada ular.

8.0  KESIMPULAN 

Rumusan yang boleh dibuat di sini, kebimbangan yang keterlaluan boleh menyebabkan seseorang akan bertingkah laku abnormal, ganjil, aneh, dan kemungkinan membawa kepada skizoprenia. Namun begitu ia boleh dicegah melalui terapi yang dicadangkan agar individu dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan terus berkembang daripada segi psikologikal, biologikal, neurobiology, fisiologi dan menyerlah melahirkan personality cemerlang dan berkeyakinan. Psikoterapi boleh diamalkan melalui teori – teori kognitif yang lain selain daripada teori di atas sebagai contoh sahaja antaranya Teori REBT (Albert Ellis, 1962), Teori Existential (Rollo May dan Viktor Frankl,1909), Teori Bandura (Albert Bandura, 1977), Teori Pemusatan Klien (Carl Rogers, 1902), Teori Gestalt (Frederick S.Fritz Pearls, 1893) dan sebagainya.
BIBLIOGRAFI

1.      Altrocchi. J. (1980). Abnormal behavior. United Stated of America : Harcourt Brace
Jovanovisch Inc

2.      America Psychiatric Association , (1994). DSM-IV . USA : Washington D.C.

3.      Arkers H.R. dan Garske (1982). Psychological theories and motivations. California :
Brooks/Cole Publishing Company.

4.      Azizi Yahya et.al, (2006) . Punca dan rawatan kecelaruan tingkah laku. Pahang : PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.

5.      Bambers. J.H. (1979). The fear of adolescents. Academic Press: London.

6.      Drever. J. (1952). Dictionary of psychology. Harmondsworth, Penguin Books, Middlesex.

7.      Jersild. A.T. (1960). Child psychology. (5th Ed). Englewood Cliff: NY: Prentice-Hall.

8.      Harian Metro, Khamis, 14 Jun 2012 hal. 12A.

9.      Kamarudidin Hj Hussin et.al. (2004). Pedagogi asas pendidikan. Kuala Lumpur :
Affluent Master Sdn. Bhd.

10.  Nevide et.al, (2000). Abnormal pshychology. (4th ed.). New Jersey: Prentice Hall.

11.  Rapee. R.M. (1991). Generalized anxiety disorder: A review of clinical features and
theoretical concept. Clinical Psychology Review. 11, 419-440.

12.  Rosenham dan Seligmen et.al. (1995). Learned helplessrness.New York : Oxford
Universiti Press.
13.  Sabariah Siron,(2005). Teori kaunseling & psikoterapi. Selangor : Prentice Hall.

14.  Sarafino, E.P.(1996). Principles of behaviour change. United Stated of America : John
Wiley and Sons Inc

15.  Spielberger, C. (1979). Understanding Stress & Anxiety. London: Harper & Row
Publishers.

16.  T. Marimuthu, (1990). Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn
Bhd

17.  Yonkers K.A.et.al, (1998). Is the course of panic disorder the same in women and men?
American Journal of Psychiatry, 155, 596-602.

18.  Wolpe.J. (1958). Psychotheraphy by reciprocal inhibition. Stanford, CA: Stanford
University Press.

19.   Zimbardo. P.G. dan. Weber .A.L, (1997). Psychology. United States of America:
Longman


No comments:

Post a Comment